Rakan yang setia

Palestine

Sunday, September 9, 2012

KISAH 5 PERKARA ANEH

  Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

                        Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

                        Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

                        Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

                        Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "YaAllah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

                        Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah s.w.t. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.                                     Ketiga jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.                                             Keempat jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.                                                                                                                                                                        Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

                        Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

                        Maka berkata Allah s.w.t., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.
Anjing-anjing neraka
                        Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Mu'adz, "Wahai Mu'adz, apabila di dalam amal perbuatanmu itu ada kekurangan :

· Jagalah lisanmu supaya tidak terjatuh di dalam ghibah terhadap saudaramu/muslimin.
· Bacalah Al-Quran
· Tanggunglah dosamu sendiri untukmu dan jangan engkau tanggungkan dosamu kepada orang lain.
· Jangan engkau mensucikan dirimu dengan mencela orang lain.
· Jangan engkau tinggikan dirimu sendiri di atas mereka.
· Jangan engkau masukkan amal perbuatan dunia ke dalam amal perbuatan akhirat.
· Jangan engkau menyombongkan diri pada kedudukanmu supaya orang takut kepada perangaimu yang tidak baik.
· Jangan engkau membisikkan sesuatu sedang dekatmu ada orang lain.
· Jangan engkau merasa tinggi dan mulia daripada orang lain.
· Jangan engkau sakitkan hati orang dengan ucapan-ucapanmu. 

                        Nescaya di akhirat nanti, kamu akan dirobek-robek oleh anjing neraka. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Demi (bintang-bintang) yang berpindah dari satu buruj kepada buruj yang lain."
Sabda Rasulullah s.a.w., "Dia adalah anjing-anjing di dalam neraka yang akan merobek-robek daging orang (menyakiti hati) dengan lisannya, dan anjing itupun merobek serta menggigit tulangnya."
Kata Mu'adz, " Ya Rasulullah, siapakah yang dapat bertahan terhadap keadaan seperti itu, dan siapa yang dapat terselamat daripadanya?" Sabda Rasulullah s.a.w., "Sesungguhnya hal itu mudah lagi ringan bagi orang yang telah dimudahkan serta diringankan oleh Allah s.w.t."

TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH SINI..SEMOGA ANDA DAPAT MANFAAT DI SINI

Friday, July 27, 2012

AMALAN KESUKAAN NABI MUHAMMAD S.A.W DI BULAN RAMADHAN


AMALAN yang menghidupkan Ramadan ialah memperbanyakkan sedekah kerana sikap bermurah hati pada Ramadan adalah dituntut. Ibn Abbas melaporkan: “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)
Membaca al-Quran
Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan kerana ia bulan al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “… bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi SAW setiap hari sepanjang Ramadan. Para salaf mendahulukan bacaan al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan.
Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran setiap hari pada Ramadan. Imam Zuhri berkata apabila tiba Ramadan, “Sesungguhnya Ramadan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.”
Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)
Qiamullail
Disunatkan berjaga malam secara berjemaah pada bulan Ramadan iaitu solat terawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan Ramadan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Solat tarawih
Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya dilakukan pada Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.
Mengerjakan umrah
Perkara disunatkan pada Ramadan adalah mengerjakan umrah berdasarkan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Umrah pada Ramadan (pahalanya) sama dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji bersamaku.” (Hadis riwayat Bukhari)
Zakat fitrah
Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya solat sunat hari raya. Setiap Individu Muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah satu gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras. Di Malaysia, nilai zakat fitrah ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.


TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH SINI..SEMOGA ANDA DAPAT MANFAAT DI SINI

Wednesday, June 27, 2012

Musafir Menuju Akhirat




Oleh: Ustz Zahazan Mohamed

Tudung Labuh - Pengalaman menarik Fatimah Syarha menerusi kolum Remaja Majalah Solusi isu no 21.

Semoga bacaan ini dapat "put things into perspective" buat kita dalam menilai dan memahami kewajipan menutup aurat sebagaimana yang dituntut agama, insyaAllah.


Corat-Coret Kisah Tudung Labuh…

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.

Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan. 

Yang Tertutup Itu Indah

Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh. 

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari. 

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu. 

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku. 

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan. 

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal. 

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah! 

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan. 

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya. 

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. 

TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH SINI..SEMOGA ANDA DAPAT MANFAAT DI SINI

Saturday, June 23, 2012

FITNAH ANCAMAN UMMAH AKHIR ZAMAN


Fitnah melibatkan manusia dan manusia yang lain. Tidak terjadi di kalangan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Oleh itu dosa ini digolongkan dosa sesama manusia. Maka dosa ini tidak akan diampunkan oleh Allah melainkan meminta ampun orang yang difi tnah. Kini, menyebar fi tnah seolaholah perkara yang kecil bagi manusia sekarang.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fi tnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Betapa besar hukuman yang dikenakan terhadap mereka yang menjadi penyebar fi tnah. Tidak masuk syurga! Jika tidak masuk syurga ke nerakalah tempatnya. Tidak ada istilah ‘duduk di tengah-tengah’ bagi mereka yang melakukan kejahatan.

Fitnah dalam bahasa Arab bermaksud ujian dan cubaan. Imam Ibnu Hajar menjelaskan bahawa makna asal fi tnah ialah al-ikhtibar, al-imtihan iaitu ujian. Ibnu Manzur pula menyatakan fi tnah itu adalah al-ibtila’(cubaan), al-imtihan dan al-ikhtibar (ujian). Manakala Jurjani memberikan defi nisinya iaitu “Perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu.”
Manakala makna fi tnah menurut al-Quran pula membawa erti syirik dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan perangilah mereka supaya tidak berlakunya syirik.” Selain itu fi tnah juga membawa makna ujian dan cubaan (surah Toha: 40 dan al-Ankabut:3), seksa (surah al-Ankabut:10, surah az-Zariat:14 dan surah an-Nahl:110), dosa (at-Taubah:49), kekufuran (at-Taubah:48 dan ali-Imran:7), kebinasaan (an-Nisa:101 dan Yunus:83), berpaling dari jalan yang benar (al-Maaidah:49 dan al-Isra’:73), sesat (al-Maaidah:41 dan as-Soffat:162), alasan (al-An’am:23, sebahagian tafsir memberi maksud jawapan), dan gila (al-Qalam:6).
Fitnah menurut as-Sunnah memberi maksud perselisihan dan peperangan, sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Akan berlaku perselisihan dan peperangan, orang yang melihatnya lebih baik dari orang yang menyebabkannya ia berlaku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Selain itu fi tnah member maksud ujian dan cubaan, melalaikan dan melekakan, penyeksaan dan pembunuhan, berlaku kemungkaran dan kemaksiatan, memaksa untuk kembali kufur, dan menjauhkan dari agama.
Fitnah melibatkan manusia dan manusia yang lain. Tidak terjadi di kalangan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Oleh itu dosa ini digolongkan dosa sesama manusia. Maka dosa  ini tidak akan diampunkan oleh Allah melainkan meminta ampun orang yang difi tnah. Kini, menyebar fi tnah seolah-olah perkara yang kecil bagi manusia sekarang.
Orang yang difi tnah akan pergi ke mahkamah dan mengemukakan saman serta menarik balik tuduhan yang dilontarkan. Bagi mereka yang melontarkan fi tnah itu akan cuba melawan habis-habisan bagi mempertahankan tuduhannya atau akan menarik semula tuduhan tersebut setelah mengambil masa yang terlalu lama. Betapa ringannya dosa fi tnah bagi mereka kerana semuanya disandarkan kepada mahkamah.


TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH SINI..SEMOGA ANDA DAPAT MANFAAT DI SINI

Wednesday, March 14, 2012

Cerita Mat Rempit Insaf Selepas Mendengar Ceramah Ustaz Azhar Idrus

Salam semua,
Petikan dari sebuah Facebook seorang anak muda Terengganu
(  Diedit serba sedikit supaya mudah difahami)
Sebagai MAT REMPIT berjaya…aktiviti malam aku sering dipenuhi dengan aktiviti  berlumba mutor dan menghuru harakan bandar kuala terengganu sambil bawak awek(minah rempit). Bagi aku itu adalah satu bentuk hiburan yang amat menyeronokkan dan kene dengan jiwa remaja. Siang malam..HIDUPKU hanyalah pada mutor 125Z meroh, no plat BGH 12**.  Awek ku DENGAN free hair dan pakaian DOP cukup kain akan selalu menjadi pembonceng tetap aku setiap malam. Namun aku bersyukur kerana tidak terjebak dengan DOSA ZINA(hampir TERJEBAK) dimana terlalu ramai saeng2 seangkatan ku tewas dengan NAFSU serakah. Mungkin Allah S.W.T masih sayangkan aku.
SERIUS aku mengaku 24 tahun hidup, aku memang dop kenal tikor sembahyang…apatah lagi nok GIsurau bala atau majlis ilmu..JAUH…Ayoh ngan MOK aku dop tahu nok buat mende(buntu).. bebelan MOK dan penampOr singgang AYOH jadi rutin harian aku  ..BUKAN niat aku untuk membuka AIB aku ATAU sesiapa…tapi hanya sekadar BERKONGSI dengan saeng2..
Aku mula KENAL dengan Ustaz Azhar pada  awal 2008. CERITANYE.. Aku secara DOP SENGAJA terdengar kuliah Ustaz yang dipasang di VCD Player oleh AYOH. Mase tu aku dup dalam bilik..Ayoh aku sengelen(sengaja) pasang kuat…nok cyco aku..NOK SUH AKU DENGOR.. Aku masih ingat lagi AYAT Ustaz Azhar yang MENARIK perhatian aku untuk terus mendengar kuliah beliau(padahal selama ni,,,dop pernah seumur hidup..aku minat Kuliah agama yang  mengantuk dan bosan…jiwa rempit la SANGAT)..KATA USTAZ AZHAR…
” Mung nok jadi mat rempit, jadi artis ker,,jadi mende2 pown..dop SALOH.. Tapi dengan syarat kene ikut syariat Islam..Doh nok uat guane memang mung wahi bawok mutor laju…Islam dop sekat…asalkan time semayang,,mung sembahyang…time gi surau…mung gi surau…NABI pown suh ayah2 ajar anok2 nek kuda…KUDA zaman lening mutorsikal r..”
satu agi..
“Mung nok bawok orang puan atah mutor dop saloh..BULEH…tapi dengan syarat…mung letok ayah orang puan tu tengoh2…”HAHA
Jadi mat rempit dop saloh!!..selama ni mat rempit sokmo(selalu) dicop sebagai musuh utama negara..JAHAT…dop layok buat NATU(MENANTU)..tak dop Mase depan..PERAGUT…Punoh..TAPI tiba2 seorang Ustaz KABO(beritahu) bahawa jadi MAT REMPIT dop saloh…tapi kene semayang…kene gi sura bala( surau dan balai)..BULEH TAHAN GOK USTAZ NI..lawok spontan dan contoh2 hok Ustaz beri memang kena dengan situasi..MUDOH PAHAM..aku jadi ketagih..Aku CARI video Ustaz Azhar dari member2…aku bluetooth..letak dalam Nset aku (selama nim dup bluetooth B*** sokmo) .
Aku SHARE plop dengan member2 lain. Aku share bagi ker AWEK aku…Aku dop MISS gi dengar kuliah Ustaz Azhar terutama di sekitar Kuala Terengganu…Surau Pok Tuyu, Surau Flat Gelung Bilal, Surau Ladang, surau wan esah dan lain jadi tempat wajib ( dulu kalu lepah garib(magrib)…batu burok, durian burung, wakaf beruas, jalan airpot jadi kewajipan) . Alhamdulillah, aku mula SOLAT cukup lima waktu…aku tahu mok ngan ayoh aku suke sangat tengok aku beruboh…sebab sebelum gi kuliah Ustaz Azhar..dapat duit isi minyak rm 20..masyuk..huhu..mungkin  gembira bedooh(teramat) tengok aku beruboh..siap SPONSER minyak 2T agi bulan2..selama ni dop bau laa…
Hok paling aku suke…awek aku pakai tudung doh..name yer Fatin (bukan name sebenor..tapi memang COMEL r boh..tengok ayat r..haha) …siap paka baju kurung sokmo..dop NGEPONG doh mutor ngam aku…sebab aku kate ker dyer…lau mung nok nek mutor ngam aku..mung kene ajok AYOH mung etek..hahaha. Sebab Ustaz Azhar kabo..nok couple dop saloh..asalkan kene niat nok uat BINI ..pahtu lau jupe jangan dup pegang2 r..jangan jupe tempat tak dop orang…sebab mung nok uat bini kam…kene jage r MARUAH bakal bini mung…InsyaAllah..2/4/2012..aku nok nikoh dengan dia…jeput mari belake neh…rumah depan Keda Sabasun..hahaha
GituLA serba sedikit kisoh aku…PENANGAN USTAZ AZHAR..memang sangat hebat..bayangkan pok sedare aku( adik ayoh) hok dulu seorang penagih dadoh tegar…kini molek2 ade jadi pengikut setia Ustaz Azhar…siap dapat kawin dengan ustazah agi…dapat pulop kerje sedap…BERKATnya kalu saeng ngan ULAMA’…berapa RAMAI ARTIS yang berpusu2 berhijrah hasil penangan Ustaz Azhar.. BOB lokhman, Sham kamikaze, Iwan dandut, Bob Kuman, dan Wahid Senario(sekadar sebut beberapa nama)…akhir kata..JOM GI KULIAH…kikikiki…
dop seke pando gok aku uat karangan…spm..BM cukup2 makan..mitok maaf banyak kalu dop paham..
Ya Allah Ya Tuhanku…banyok dosaku PadaMu ya Allah…Aku Mohon Keampunanpu YaAllah…Kekalkan aku dalam Hidayahmu..janganlah engkau pesongkan hati Hambamu ini…setelah Engkau beri petunjuk..tempatkan aku dalam kalangan orang2 yang beriman ..Ya Allah…Matikanlah aku dalam iman…AMIN(mohon sahabat doakan)

http://www.informasi.my/cerita-mat-rempit-insaf-selepas-mendengar-ceramah-ustaz-azhar-idrus/ 

TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH SINI..SEMOGA ANDA DAPAT MANFAAT DI SINI